Siswa Bisa adalah satu kumpulan mahasiswa yang MAHASISWA dengan matlamat pembangunan masyarakat di mana sahaja langit menaungi dan bumi diinjak. Ia merentasi kelompok kelas sosial, budaya, bahasa dan bangsa serta agama. Ia juga meletakkan sasaran ahli-ahlinya lahir menjadi wakil rakyat, samada secara rasmi atau tidak rasmi, melalui gerakerja di lapangan, pembangunan ahli dan usaha kendiri yang terancang. Berani? Atau undurkan diri.
9:43 PM Comment0 Comments

Tapak surau sementara Kg. Kionsom Kecil. (maaf, gambar diambil pada waktu malam)

Ruang beranda yang boleh berfungsi untuk kelas Iqra' kanak-kanak.

Ruang tamu yang luas memadai untuk memuatkan sekitar 30 orang. Cuma ia kosong minta diisi.

10 Mei 2009 yang lepas, 4 orang ahli PSS mengadakan lawatan susulan ke Kampung Kionsom Kecil, Inanam untuk mengatur kelas fardhu ain yang telah lama dirancang. Alhamdulillah, bekas ketua kampung, Encik Muhsin telah mengusulkan supaya kelas dibuat di rumah seorang penduduk kampung yang tinggal seorang diri, malah menawarkan supaya ahli PSS yang berkhidmat sebagai pengajar bermalam di situ pada setiap kali selesai kelas pengajian. PSS bersetuju dengan saranan tersebut dan dibawa meninjau tapak rumah. Ternyata rumah tersebut sangat sesuai untuk dijadikan pusat kelas fardhu ain dan surau sementara. Justeru PSS berhasrat memulakan kelas fardhu ain pada hari Ahad ini, dan menjemput mana-mana individu yang berminat untuk turut serta dalam usaha tersebut. PSS juga mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan derma, sejadah, telekung dan peralatan solat atau buku yang berkaitan untuk diwakafkan kepada penduduk kampung tersebut. Di Kionsom Kecil, hanya 9 daripada 46 keluarga yang ada beragama Islam. Kionsom Kecil menanti anda..

3:11 AM Comment0 Comments

Teratak usang yang akan merobah adik-adik yang kami sayangi, insyaAllah.

Program Puteriku Sayang adalah inisiatif awal ke arah pembentukan Rumah perlindungan Kekal Mawaddah Wa Rahmah (MaWaR). Buat sementara waktu, ia menumpang di sebuah sekolah rendah agama di Kampung Kobuni, Inanam, iaitu Sekolah Rendah Agama Insaniyyah. Ukuran bangunan yang hanyalah 15x30 kaki, dan berada dalam keadaan sangat usang memaksa kami menghadkan pengambilan peserta kepada 10 orang remaja bermasalah sahaja daripada 25 yang menawarkan diri secara sukarela untuk mengikuti program. Serba sedikit maklumat program adalah seperti berikut:

Tarikh :
9-10 Mei 2009
(diharapkan untuk dapat dilaksanakan secara berterusan setiap minggu, bergantung kepada kekangan kewangan dan tenaga)

Tempat :
Sekolah Rendah Agama Al-Insaniyyah, Kampung Kobuni, Inanam

Sasaran Peserta:
10 orang remaja perempuan yang datang dari keluarga bermasalah dan pernah terlibat dengan clubbing, merokok, arak, judi dan lain-lain. Kelompok ini juga terdedah kepada ancaman Kristianisasi. Pemilihan peserta dipusatkan kepada mereka yang cenderung untuk lari daripada rumah dan membunuh diri.

Keperluan Kewangan:

Penyelenggaraan -
Cat bangunan (putih dan ungu) : RM250.00
Baikpulih tandas : RM 200.00

Mingguan -
Alatulis / Bahan keperluan program : RM 100.00
Makanan Peserta/AJK (RM 12 x 2 hari x 20 orang) : RM 480.00
Cenderamata peserta (RM 5 x 10) : RM 50.00

JUMLAH : RM 1080.00

Persatuan Siswazah Sabah mempunyai track record yang baik dalam program pemulihan akhlak dan pembentukan remaja, hasil pendekatan yang bersifat-abang-kakak-adik dan 100% bertunjangkan tarbiyyah Islam. Pelajar Islam yang mengikuti KRIS PITAS tanggal 10-12 April 2009 yang lepas, dan bermula dari kosong kini telah mewujudkan Kelab Remaja Ukhuwwah di sekolah atas inisiatif sendiri dan kini menjadi barisan hadapan menentang Kristianisasi yang berlaku dalam pagar sekolah mereka sendiri. 40% daripada 50% para peserta muslimat KRIS PAPAR, 24-26 April 2009, mengisytiharkan putus couple dan mengenakan stokin kaki dan tangan.

Persatuan Siswazah Sabah juga mempunyai track record yang baik berhubung kemampuan melaksanakan program dalam kekangan kewangan yang tinggi. Tidak boleh tidak, program 'Puteriku Sayang' tetap akan dijalankan biarpun peserta perlu dilatih berpuasa, peserta perlu membuang air dalam gelap dan tanpa air serta berprogram dalam bangunan usang dan hampir roboh. Mereka boleh pulang dengan berbekalkan cenderamata senyuman kaka fasilitator semata-mata. Tetapi kami merasakan bahawa peserta yang memilih untuk berubah ini tidak patut bergelap dan beristinja' dengan batu bila ramai lagi insan yang tidak pernah menutup lampu bilik air dan membiarkan pili terbuka. Kami tidak merasakan makanan mereka patut disekat-sekat bila ramai lagi umat yang membuang dan membazir makanan tanpa mengeluh. Kami tidak merasakan mereka hanya mampu dihadiahkan sekuntum senyuman bilamana mereka tidak pernah merasai indahnya mendapat hadiah dan penghargaan daripada orang yang boleh mereka panggil sayang. Anda mampu membantu Gadis Semut? Kerana kami memerlukan sumbangan anda.

p/s : Kami juga mengalu-alukan sebarang maklumat berhubung remaja bermasalah di tahap kritikal sekitar Kota Kinabalu, atau maklumat berhubung mana-mana organisasi atau pertubuhan yang dapat membantu di dalam usaha ini. Sebarang sumbangan atau maklumat hubungi Nadir - 0198110964. Syukran jazilan.

Akaun Maybank : Saudara Muhammad Ruslan Azahari
: 162263156276

Akaun CIMB : Saudara Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman
: 12180099132527





10:53 PM Comment0 Comments

"Kenapa kau datang program pun merokok?" Abang fasi yang marah bertanya kepada salah seorang peserta.

"Tak boleh tahan bang. Gula-gula habis." Peserta menjawab sambil tertunduk.

Abang fasi mengeluh. Penagih rokok. Nak dimarah hilang peluang mentarbiyyah. Nak dibiar takut makin parah. Akhirnya terpaksa mengalah.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

"Bang, saya ada satu masalah. Saya tak boleh tunduk kalau tengok perempuan cun. Lagi-lagi kalau seksi, mesti nak pandang. Kalau limpas naik motor, konfem saya akan hon..Tak boleh buat apa bang, mesti nak buat jugak.." seorang lagi peserta mengadu. Zass..kes lain pula. Penagih perempuan cun.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

"Kenapa kau datang program qiam ni, tak bosan ke tiap-tiap bulan datang qiam? Pastu bulan depan pergi program Kem Remaja Islam pula, tiap-tiap malam ikut abang pergi bagi kuliah, tak pandai boring ke?" Abang lain pula mengacah madhu'unya.

"Tak pula bang. Seronok. Kalau tak pergi program-program ni rasa macam ada yang tak kena. Ni kan jihad bang!" Adik yang baru 3 bulan mengenali Islam menjawab lancar. Alhamdulillah. Penagih dakwah.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Hendak mencari orang untuk dibentuk tidak susah. Ramai yang ingin mengenali Islam. Ramai yang ingin menjadi baik. Ramai yang suka berprogram. Tetapi untuk mencari orang yang mampu istiqamah menjadi generasi penerus dakwah agak sukar. Kerana gilakan program sahaja tidak cukup. Mahukan perubahan sahaja tidak memadai. Hendakkan keseronokan semata-mata lebih jauh lagi. Tetapi sifat ini hanya boleh dipupuk dalam diri, generasi ini hanya boleh berterusan dibentuk dengan melahirkan ketagihan. Ketagih dakwah.

Kecenderungan untuk menjadi penagih memerlukan beberapa perkara, samada yang perlu diletakkan dalam diri atau yang diserap ke dalam mata rantai perjuangan;

1. Mempunyai matlamat yang benar
Generasi pendakwah perlu difahamkan yang perjuangan ini adalah atas dasar aqidah Islam, kerana itu ia tidak boleh ditidakkan. Ia mesti diteruskan sampai Islam kembali ke tempat asalnya, biar berdepan mehnah dan cabaran, di waktu sukar dan senang. Bentuk kefahaman melaui slogan yang biasa dilaungkan, Allah Matlamat Kami, Quran Panduan Kami, Rasulullah Ikutan Kami, Syahid Cita-Cita Tertinggi Kami.

Salah seorang dai'e projek PSS, Saudara Misran (berbaju biru). Bila difahamkan tentang perjuangan Islam, kesungguhan anak muda ini belajar menakjubkan. Daripada tidak kenal huruf, beliau mengambil masa tiga bulan dengan diajar sebanyak tiga kali sahaja, selebihnya beliau berusaha untuk belajar sendiri untuk menghabiskan kesemua Iqra' dan tamat 30 juzu' Al-Quran! Daripada seorang yang 'bisu', beliau kini boleh menjadi pengacara majlis sehebat murabbinya, Saudara Fairuz Bend, Setiausaha PSS. Ini contoh potensi anak Sabah, yang tidak pernah diajar solat dan syahadah, malah hidup dengan arak dan judi!

2. Mempunyai guru dan sahabat-sahabat yang baik
Penulis dikelilingi oleh ramai pendidik dakwah tempatan yang mengajar kaedah dan cara menagih di tempat orang secara berkesan dan agresif. Samada yang berbangsa Bugis 1 & 2, Bajau 1 & 2, dan Dusun, samada secara langsung atau telah membentuk rangka kerja dan emosi untuk bergerak di dalam masyarakat, membangunkan kecelikan agama dan ilmu. Sahabat-sahabat yang baik juga amatlah perlu, yang berfungsi sebagai teman sejati perjuangan, dan sekaligus memainkan peranan sebagai guru-guru jurudakwah. Selain itu, penagih perlu banyak belajar daripada alam dan pengalaman, melalui daya pemerhatian, penganalisaan dan penyerapan yang tinggi.

3. Mempunyai landasan atau platform untuk bergerak
Bergerak seorang diri mudah mematikan perjuangan, samada mengalami halangan kewangan, tenaga, masa atau motivasi. Justeru bergerak dalam gerakan Islam atau organisasi sangat penting, samada dalam persatuan bukan kerajaan seperti Persatuan Siswazah Sabah, JIM, ABIM dan sebagainya atau parti politik seperti PAS dan Parti Keadilan Rakyat.

4. Jadualkan gerakerja anda
Orang yang bersistem perlu mempunyai jadual. Jadual melahirkan rasa tanggungjawab dan membolehkan masa diurus dengan lebih baik. Buat jadual berkala mingguan, susun perancangan kuliah, tazkirah, program secara tetap dan masukkan aktiviti atau program khusus di selang masa yang ada. Nah, tak ikut dosa!

5. Letakkan diri anda dalam posisi penting
Menjadi ahli biasa dalam persatuan melahirkan 'mindset' ambil ringan dan tidak kisah. Kita tidak mengajar pejuang Islam mengejar jawatan, tetapi kita mahukan ahli yang 'segak macam Presiden, bekerja macam Setiausaha Agung dan bergaya macam Bendahari Kehormat.' Dan yang paling penting, berfikiran seperti wakil rakyat dan Perdana Menteri.


Di Masjid Kampung Likas, terdapat seorang pakcik Pakistan yang telah menjadikan kerja menyusun selipar ahli jamaah masjid dan 'memusingkan'nya supaya jamaah mudah menyarungkannya dan bergerak pulang sebagai agenda kecil yang dimasukkan ke dalam jadual hariannya, sekaligus melantik dirinya sebagai 'penyusun selipar rasmi masjid'. Agenda kecilnya pasti dipandang mulia oleh Allah dan dihitung sebagai pahala free yang diperolehi setiap hari.
Pakcik ini penagih pahala!


6. Wujudkan 'networking' yang baik
Rangkaian dan hubungan yang baik dengan banyak pihak di pelbagai lapangan dan status jawatan memberi banyak kelebihan. Antaranya ia dapat memudahkan gerakerja dan memudahkan pengurusan program, selain menjadi saluran dana yang baik. Selain itu, banyak gerakerja seperti pelaksanaan program, menguruskan kes-kes khidmat masyarakat dan sebagainya datang daripada rangkaian tersebut, justeru memastikan langkah dan pergerakan tidak terhenti.

Seberapa banyak pun panduan yang diberikan, yang paling penting pada seorang pejuang ialah rasa kebersamaan dan keterikatan dengan Allah melalui amalan rohani, keikhlasan dan niat yang suci murni, kerana dengan usaha apapun, akhirnya yang menentukan jatuh bangun dan penerusan ketagihan dakwah, ialah Allah Ta'ala.

10:29 PM Comment0 Comments

Selesai Qiyamullail Mingguan KRU Tuaran, saya bergegas ke Darau. Beberapa hari lepas, selepas perbincangan menggunakan premis SAR milik Ustaz Arshad UITM untuk program kaunseling Adik-Adikku Sayang PSS, beliau menceritakan perihal sebuah rumah kebajikan Kristian yang terletak di Darau. Katanya, walaupun rumah tersebut didirikan hasil sumbangan harta warisan RM15 000 oleh seorang wanita Serani budiman dan menekankan kehidupan Kristian, ia turut dihuni oleh 7 orang remaja Islam. Remaja yang mencari tempat berlindung dan berteduh tanpa hasil akhirnya terpaksa menumpang kasih di bawah bumbung agama lain. Yang mengagumkan ialah pihak pengurusan sendiri yang menghantar surat kepada Ustaz Arshad meminta beliau melakukan sesuatu untuk membantu golongan minoriti tersebut.

Sekitar sejam melilau mencari rumah kebajikan tersebut tanpa hasil, akhirnya seorang penduduk tempatan memberi panduan. Motor terus dipecut laju menuju ke tempat yang dikhabarkan. Jam sudah menunjukkan angka 9.30 pagi, lewat sejam daripada masa yang dijanjikan untuk bertemu dengan Ustaz Arshad. Petunjuk yang diberi ternyata betul. Nama rumah kebajikan tertera di pagar masuk. Sekolah Tunas Bakti. Melepasi pondok sekuriti, saya menuju ke pejabat dan menghubungi Ustaz Arshad bertanyakan lokasinya. Jawapan beliau,

"Eh, bukan di situ. Kita di Rumah Kebajikan Bukit Harapan. Ustaz pun dah balik dah ni, lama tunggu kat tepi jalan tadi,"

Kalau anda sampai ke sini..nyata anda telah tersesat

Waduh. Salah tempat pula. Tetapi tidak pelik. Ustaz Arshad memberitahu yang beliau telah mencari, bertanya dan merayau selama dua minggu berterusan mencari rumah tersebut, baru bertemu.

Ustaz Arshad telah melakukan perbincangan dengan pihak pengurusan Rumah Kebajikan Bukit Harapan, dan mereka mengalu-alukan supaya diadakan kelas untuk penghuni Islam sekali seminggu. Beliau juga sempat bertemu dengan 6 orang daripada remaja Islam tersebut, sementara seorang lagi yang dikatakan menghadapi 'krisis identiti' tidak mahu terlibat dengan pertemuan. Nyata golongan ini bukan sahaja tidak tahu solat, tidak tahu berapa waktu solat, jumlah rakaat dan sebagainya, bahkan tidak pandai mengucap. Sedangkan setiap hari mereka terdedah dengan budaya hidup Kristian. Kalau mereka murtad siapakah agaknya yang akan masuk neraka?

Ustaz Arshad akan menyusun jadual penggiliran pengajar untuk remaja-remaja ini. Pengajar terdiri daripada mahasiswa UITM dan ahli PSS. Islam para remaja ini di tahap sifar. Berapa lama lagikah yang anda perlukan untuk bersifir-sifir sebelum turun ke lapangan membantu mereka?

Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman
Universiti Malaysia Sabah

12:22 AM Comment0 Comments

Skuad Sukarelawan SB dibentuk khusus bagi mewujudkan saluran kepada mahasiswa untuk bergerak di bidang kepakaran dan minat masing-masing. Skuad-skuad ini sedang mencari ketua untuk menggerakkan setiap daripadanya secara berkesan. SB menggalakkan mahasiswa yang berani mencuba dan sedia berkorban untuk tampil memberi bantuan. Setakat ini tujuh Skuad telah dibentuk bagi memenuhi beberapa tuntutan;

1. Skuad Adik-Adikku Sayang

SB sedang dalam usaha mengumpulkan maklumat daripada sekolah-sekolah berhubung remaja yang bermasalah. Adik-adik ini akan diserap ke dalam program pemulihan percuma yang dibimbing oleh Skuad AAS. Program akan bermula dalam masa terdekat bergantung kepada capaian sasaran remaja. Buat permulaan SB mensasarkan 10-15 orang remaja perempuan yang cenderung untuk membunuh diri dan melarikan diri dari rumah, serta berkeinginan untuk berubah.

2. Skuad Jana Dana

Sebahagian mahasiswa lahir dengan kemampuan berdiplomasi, bijak berkata-kata dan kemahiran berurus niaga. SB mengalukan kumpulan ini untuk menggerakkan Skuad Jana Dana. Langkah-langkah mencari dana akan dicadangkan kepada mahasiswa yang berminat, dan hasil dana akan digunakan bagi menggerakkan program-program SB.

3. Skuad Media

Skuad Media berperanan mengadakan liputan program-program SB, di samping menjadi skuad yang berperanan mensensasikan isu-isu sekitar Kota Kinabalu dan Sabah. Tugas Skuad Media juga meliputi aspek mencari isu untuk disalurkan kepada Skuad-Skuad lain untuk tindakan.

4. Skuad PCP

Skuad Program Celik Palestin bergerak ke sekolah-sekolah, kampung-kampung, institusi pengajian tinggi dan pra-sekolah menyuntik kesedaran berhubung isu Palestin sebagai isu kemanusiaan sejagat. Di samping program penerangan dan tayangan, Skuad PCP melancrakan kempen-kempen boikot di samping mempromosi produk pilihan alternatif kepada peserta program. Setakat ini, Skuad PCP telah melakukan roadshow di sekitar 20 tempat seluruh Pantai Barat Sabah.

5. Skuad PPMK

Program Pembangunan masyarakat kampung melibatkan ceramah, kelas membaca, pembangunan fasiliti kampung dan aduan kerosakan kemudahan awam di kampung, selain program ramahmesra dan khidmat masyarakat. Setakat ini terdapat lima kampung yang sedang di'projekkan' oleh SB, dan tiga kampung lain dalam perancangan terdekat. Antara inisiatif yang telah dilakukan ialah pembentukan perpustakaan mini, program tayangan, kelas fardhu ain berkala, program motivasi sehari dan lain-lain.

6. Skuad Senyum

SB berperanan mendekati segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan asal keturunan. Salah satu program wajib bulanan SB ialah menziarahi hospital. Dengan kerjasama sekitar 10 NGO sekitar Kota Kinabalu, SB mengadakan lawatan ke Hospital Queen Elizabeth secara bergilir pada setiap hari Ahad. Lebih daripada itu, SB memilih kes-kes kritikal yang biasanya melibatkan kanak-kanak untuk dijadikan 'projek kasih' angkat. Setakat ini SB, samada melalui motivasi, bantuan kewangan atau penyempurnaan hajat individu, telah membantu sekurang-kurangnya tiga orang kanak-kanak yang terlantar di hospital untuk pulih dan menjalani kehidupan seperti sedia-kala.

7. Skuad Undang-Undang

Dalam melaksanakan tugas berbakti kepada masyarakat, SB mendapati kemahiran asas dalam undang-undang adalah perlu. Justeru SB berbesar hati sekiranya ada di kalangan mahasiswa yang berminat dibentuk menjadi mereka yang mahir di dalam bidang undang-undang asas, khususnya dalam aspek hak asasi manusia dan hak-hak pekerja/buruh.

SB mempercayai bahawa semua orang dicipta dengan tempat masing-masing di dunia. Semua orang dicipta dengan keistimewaan tersendiri, tanpa terlepas walaupun seorang. Justeru semua orang mempunyai peranan untuk dimainkan dalam membentuk dunia dan persekitarannya, lebih-lebih lagi mahasiswa yang hebat dan celik!

DIMANA TEMPAT ANDA?

6:37 PM Comment0 Comments


SiswaBerbisa.blogspot diwujudkan guna mengumpul dan menggembleng tenaga mahasiswa yang menyedari dan meyakini kuasa mahasiswa untuk melakukan perubahan. Mahasiswa pernah mencipta sejarah dan akan terus mencipta sejarah, kerana sifat mahasiswa yang sentiasa berfikir dan bertindak mengutamakan kepentingan nilai kemahasiswaan, intelek dan marhaen.

Justeru SiswaBerbisa.blogspot membuka ruang kepada mahasiswa tampil menyatakan idea dan pandangan, selain turun ke medan membangunkan masyarakat. Pelbagai saluran disediakan untuk mahasiswa berbakti, misalnya melalui Skuad Senyum (Ziarah Hospital dan Rumah Pesakit), Skuad Program Pembangunan Masyarakat Kampung yang akan menyuntik semangat mementingkan ilmu kepada masyarakat kampung selain membantu memenuhi keperluan asas mereka dan Skuad Adik-Adikku Sayang, yang bertujuan memotivasikan remaja yang datang daripada keluarga bermasalah. SiswaBisa memuji kesedaran yang wujud di dalam diri mahasiswa untuk melihat warga kampus dan masyarakat bergerak ke arah yang lebih baik.

TAHNIAH SB! SUDAH SAMPAI MASANYA BERAKSI!

6:26 PM Comment0 Comments

SiswaBisa.blogspot mengucapkan selamat menduduki peperiksaan kepada semua SB. SB yang cemerlang perlu membuktikan dirinya menyengat di segenap ruang! Gunakan sisa masa yang ada untuk melakukan pecutan terakhir, supaya dapat kembali beraksi dengan lebih gah pada semester hadapan!

3:12 AM Comment0 Comments


Jumaat malam yang lepas saya berbesar hati dijemput sebagai salah seorang ahli panel Diskusi Ilmiah @ AB anjuran JAKMAS Kolej Kediaman Anugerah Bestari, UMS. Tajuk yang diberikan, 'Mahasiswa Kita Tidak Berbisa'. Duduk sepentas dengan saya ialah mantan YDP Kolej Kediaman AB, Saudara Yusuf [link], yang saya acah-acah sebagai bakal Sasterawan Negara, dan ahli Majlis Perwakilan Pelajar dan aktivis mahasiswa, Saudara Hasraa, yang memegang portfolio sebagai Exco Kepimpinan dan Latihan. Pendebat Universiti, Saudara Jass mengemudi majlis pada malam tersebut.

Saya tidak berhajat mengulas satu-persatu persoalan yang dibincangkan, tetapi berhajat besar membawa mahasiswa meletakkan diri sendiri di dalam salah satu kelompok 'mahasiswa berbisa' yang saya definisikan dalam pusingan pertama forum tersebut. Bagi memudahkan pemahaman pendengar, saya menggunakan tiga spesies haiwan sebagai analogi.

1. Katak

Katak yang dikisahkan ini bukan sebarang katak. Tetapi katak ini ialah spesies yang menyerupai katak berbisa untuk menakutkan musuh, walaupun hakikatnya ia tidak berbisa. Katak ini juga kuat memekik dan berbunyi. Ramai mahasiswa tergolong di dalam kelompok ini; kuat berbunyi, tidak berbisa.

2. Penyengat


Penyengat tidak dinafikan sememangnya berbisa. Malangnya penyengat hanya menyengat bila diancam. Tanpa diganggu, ia tidak memberi kesan kepada makhluq lain yang berada di sekelilingnya. Saya mengkategorikan majoriti pimpinan mahasiswa di dalam kelompok ini.


3. Umang-umang
(terima kasih Rimbawan Beriman yang memberitahu saya nama makhluq ini di dalam BM)

Umang-umang adalah spesies hidupan air. Ia mempunyai tentakel yang beracun dan melambai-lambai menunggu pemangsa. Sebaik sahaja pemangsa melintas, tentakel yang berbisa akan melumpuhkannya dan dihadam sebagai makanan. Umang-umang, menyengat untuk makanannya, justeru untuk kemandirian spesiesnya.

Mahasiswa berbisa yang hendak kita bentuk ialah mahasiswa spesies umang-umang. Tidak cukup seseorang mahasiswa hanya bersuara bila diganggu atau bila kepentingannya sahaja terancam. Suara mahasiswa adalah suara rakyat. Tidak memadai mahasiswa hanya bersuara untuk dirinya sendiri. Amat malang jika pembentukan mahasiswa di kampus tidak lebih daripada pembentukan kanak-kanak tadika, yang hanya mampu mengadu pensil dicuri dan dikejar anjing kepada cikgu.

Mahasiswa mempunyai kuasa, dan fungsi pimpinan mahasiswa ialah mencari jalan memperkasakan mentaliti dan keupayaan mahasiswa menyedari dan menggunakan kuasanya untuk melakukan perubahan. Pimpinan mahasiswa bukan objek untuk ditunggangi oleh masyarakat kampus guna menyelesaikan maslah yang dihadapi. Mahasiswa dilatih di universiti menjadi wakil rakyat bukannya rakyat yang bergantung kepada wakil rakyat. Dilatih supaya apabila keluar ke tengah masyarakat dituruti bukan menuruti. Memimpin bukan dipimpin. Mempengaruhi bukan dipengaruhi. Maka peranan mereka yang bertanggungjawab harus diteliti supaya mampu menyengat di luar kampus.

Akhir sekali untuk mahasiswa yang dimomokkan oleh perasaan takut dek himpitan AUKU, sekatan kerajaan dan HEP, media dan kesempitan waktu sehingga menjadi alasan tidak dapat beraksi di lapangan umat, saya menghadiahkan kisah ketua kampung orang asli;

Ada sekali tu ketua kampung orang asli telah dihadiahkan jam dinding oleh pihak tentera kerana menolong mereka dalam operasi. Alangkah bangganya ketua orang asli tersebut bila jam tersebut di gantungkan di depan pintu rumahnya dan orang kampung sering datang melihat jam tersebut seolah-olah barang hiasan kerana mereka pada masa tu tak tahu bagaimana menggunakan jam untuk melihat waktu.

Suatu hari anak ketua kampung tersebut memberitahunya yang jarum jam tu telah berhenti bergerak. Masa tu punyalah ramai anak buah dia kat halaman rumah sedang melihat jam tersebut.

Maka ketua kampung tu pun konon nak tunjuk terrorlah lalu dia pun menurunkan jam tersebut dari tempat penggantungan dan membelek-belek jam tersebut depan belakang. Beliau ternampak tempat bateri jam tersebut dan telah dengan tidak sengaja terkuis bateri itu terkeluar dari tempatnya.

Entah macam mana ada pulak bangkai seekor lipas di celah-celah tempat bateri tu... beliau pun dengan bangganya memberitahu kepada anak-anak buahnya.

"OOOO... patutlah tak jalan drebarnya mati tersepittttt... .!!"

Yang membelenggu pemikiran ialah diri sendiri yang tak mahu belajar dan tak ingin mencuba. Tidak ada kuasa yang mampu menghalang jiwa dan hati yang celik dan kemahuan yang tinggi. Dan tidak ada kemahuan yang lebih hebat daripada kemahuan seorang mahasiswa yang ingin melihat perubahan dalam masyarakatnya.

Apapun, yang menguja saya ialah apabila saya mengakhiri dengan 'yang paling susah untuk berbisa ialah mengambil langkah pertama. Sekarang di bahu saya ada 5 buah kampung sedang menunggu anda, siapa yang bersedia berkhidmat sila berikan nama kepada pelaksana DIMAN', seramai 20 orang mahasiswa menawarkan diri merintis jalan menjadi umang-umang.


Dirgahayu Sabah, tanah juangku!


p/s: Terima kasih banyak juga pada sifu dakwah fardhiyyah yang menghidupkan semula nafas perjuangan saya di Sabah pada malam tersebut ;)